Thursday, January 7, 2010

Kalimah "ALLAH" hak eksklusif untuk umat Islam..!

Saya terpanggil untuk menulis isu besar ini mengenai penggunaan nama Allah oleh Herald-The Catholic Weekly. Saya ingin memberi beberapa pandangan, cadangan dan informasi hasil dari pembacaan dan pengkajian saya sendiri mengenai agama Nasrani yang kini dikenali sebagai agama Kristian. Bukan niat saya untuk mencari kelemahan agama tersebut tetapi, bagi saya ianya sebagai satu pembacaan ilmiah dan sebagai seorang Islam tidak salah bagi saya membaca dan mengkaji sabagai menambah ilmu pengetahuan.
Pada pandangan saya, sebagai orang Islam kita harus bersabar dan mencari jalan secara lebih berhikmah (wisdom) untuk hadapi situasi seperti ini. Sebagai umat Islam kita telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. supaya sentiasa berpesan dalam kebenaran dan berpesan dalam kesabaran (Surah Al-Asr). Pendekatan yang lebih berbentuk Ilmiah dan hikmah adalah yang terbaik untuk hadapi situasi seperti ini.
Saya ingin berkongsi beberapa informasi yang berguna yang mungkin dapat dijadikan panduan oleh pihak-pihak yang berkenaan terutama pihak KDN, Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Agama Islam, NGO atau Persatuan Peguam Muslim.
Sebenarnya, umat Kristian telah lama kehilangan hak untuk menggunakan perkataan Allah kerana pihak gereja sendiri telah menggugurkan perkataan tersebut dari sebarang urusan gereja dan upacara keagamaan. Pada tahun 325 Masihi satu pengistiharan dalam Muktamar Nicea menyatakan bahawa Trinity adalah akidah utama orang Kristian yang terdiri daripada Bapa, Anak dan Roh Kudus. Ini diikuti oleh Muktamar Constantinople 1 pada tahun 381 Masihi yang mengukuhkan perisytiharan terdahulu bahawa semua orang Kristian menggunakan istilah Bapa, Anak dan Roh Kudus. Pada Muktamar Ephesus 1 pada tahun 431 Masihi, pihak gereja melarang orang2 Kristian menggunakan nama Tuhan yang terdapat dalam Kitab Injil untuk percakapan harian dan hanya menggunakan perkataan Bapa sahaja. Nama-nama Tuhan hanya boleh digunakan dalam upacara keagamaan oleh pihak gereja sahaja.
Ketika berlakunya perpecahan aliran dalam agama Kristian di Eropah, aliran Protestant telah muncul untuk keluar dari pengaruh kekuasaan Gereja Katolik yang berpusat di Rome. Akibat daripada perpecahan tersebut juga memberi kesan kepada kitab Bible. Gereja Katolik menerbitkan Bible edisi Geneva pada tahun 1560 dan pihak Protestant menentang penerbitan Bible edisi in dan hasilnya pada tahun 1611 mereka menerbitkan Bible edisi King James. Pada tahun 1769, Bible edisi King James telah diterima pakai oleh dunia Kristian dan digunakan sehingga ke hari ini. Saya ingin menjelaskan disini sebelum tahun 1769, edisi King James mengandungi 4 perkataan kalimat ‘Alah’.Kalimat ‘Alah’ ini telah dibuang dari edisi King James selepas tahun 1769. Edisi King James yang digunakan sekarang tidak mengandungi kalimat tersebut. Oleh itu. Saya berpendapat, agama Kristian sudah tidak mempunyai hak untuk menggunakan kalimat atau perkataan ‘Allah’ untuk apa tujuan sekalipun.
Pihak penerbit Herald-The Catholic Weekly seharusnya mengkaji sejarah agama Kristian sendiri sebelum bercita-cita menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitannya. Jika didalam kitab suci agama Kristian tidak ada perkataan ‘Allah’ bagi merujuk nama Tuhan, maka tidak wajar bagi pihak penerbit Herald-Catholic Weekly menggunakannya.
Dari segi linguistik pula, perkataan atau kalimat ‘Allah’ adalah berasal dari bahasa Arab iaitu ‘Al-Ilah’. Dalam bahasa Arab, kata dasar ‘Ilah’ bermaksud “Tuhan yang mempunyai sifat yang tunggal”. Sifat kata dasar ‘Ilah’ juga tidak mempunyai kata ganda yang menunjukkan bilangan (plural) seperti god (singular) dan gods (plural) atau tuhan (bilangan satu) dan tuhan-tuhan (bilangan lebih dari satu). Selain itu, kata dasar ‘Ilah’ juga tidak menunjukkan jantina (gender) seperti god (male) dan goddess (female) atau dewa dan dewi seperti tuhan-tuhan Mesir Purba iaitu Osiris (lelaki) dan Isis (Perempuan). Kata dasar ‘Ilah’ itu sendiri adalah bersifat satu atau tunggal yang bertentangan dengan doktrin Kristian iaitu Trinity. ‘Ilah’ bersifat Uno yakni satu manakala doktrin Trinity pula tuhan itu terdiri daripada 3 oknum iaitu Bapa, Anak dan Roh Kudus yang bertindak secara berasingan.
Jika diteliti dengan sepenuhnya terdapat pebezaan yang ketara antara sifat ‘Ilah’ dengan doktrin Trinity tersebut.Terdapat banyak nama-nama Tuhan di dalam kitab Taurat, Zabur dan Injil. Agama Kristian yang berasal daripada Judeo-Christian, menggabungkan kitab Taurat, Zabur dan Injil dan dikenali sebagai Holy Bible.
Bagi saya secara rasionalnya Paderi Murphy Pakiam selaku penerbit Herald-Catholic Weekly sudah tentu lebih mengetahui nama-nama Tuhan yang terdapat dalam kitab Bible. Antaranya ialah Jehovah, Yahweh, Eloh, Eli atau El. Secara rasionalnya juga penerbit Herald-Catholic Weekly boleh menggunakan nama-nama ini dalam penebitan mereka kerana orang-orang Kristian lebih terdedah kepada nama-nama Tuhan yang terdapat dalam Kitab Bible.
Persoalannya sekarang, kenapa Paderi Murphy Pakiam tidak menggunakan nama-nama Tuhan yang terdapat dalam kitab Bible tersebut?
Sebagai contoh, Jesus pernah bersuara dengan nada yang kuat menyebut salah satu nama Tuhan seperti yang dirakamkan oleh Injil. Jesus menyebut “Eli, Eli lama sabachtani” sebagai kata-kata terakhir beliau. Maksud Eli ialah Tuhanku. Bahasa ibunda Jesus ialah bahasa Aramaic iaitu salah satu dialek bahasa Ibrani (Hebrew). Saya berpendapat adalah lebih realistik bagi penerbit Herald-Catholic Weekly menggunakan nama Tuhan seperti yang keluar dari lidah Jesus sendiri.
1.3 billion orang Islam seluruh dunia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bertutur dalam pelbagai bahasa menggunakan kalimat Allah yang berasal daripada bahasa asalnya iaitu bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa pertuturan Baginda Rasululllah kerana baginda berbangsa Arab.Orang-orang Islam tidak menterjemahkan Allah kepada bahasa ibunda masing-masing. Ini adalah kerana kalimat Allah tidak sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Begitu juga dengan orang-orang Kristian, mereka sepatutnya mengikuti Jesus dengan menyebut nama Tuhan dalam bahasa asal iaitu bahasa Aramaic yakni bahasa ibunda Jesus.
Dari segi perundangan, sudah terang dan nyata menunjukkan bahawa perkataan Allah adalah hak eksklusif untuk orang-orang Islam. Saya menyarankan kepada KDN, Jakim dan Persatuan Peguam Islam menggunakan sumber Al-Quran di mahkamah nanti. Secara logik dan rasional minda saya ialah, Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan bahawa agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Oleh kerana itu, semua orang tahu bahawa sumber agama Islam adalah Al-Quran. Kewajaran Al-Quran sebagai dokumen yang telah didokumentasikan oleh para sahabat Rasullullah sebagai sumber yang authentik untuk dijadikan hujah di mahkamah nanti.
Surah Al-Ikhlas dengan jelas menyatakan bahawa Allah adalah hak eksklusif bagi orang-orang Islam. Maksud Surah Al-Ikhlas-“Katakanlah Allah Itu Esa(1). Allah tempat bergantung sekelian makhluk(2). Tidak beranak dan tidak pula diperanakkan(3). Dan tiada satu pun yang setara denganNya(4)”.Perhatikan ayat pertama dengan jelas menunjukkan Allah adalah Esa. Secara eksklusifnya hanya untuk orang-orang Islam kerana orang-orang Islam beriman kepada Allah yang Esa. Ayat yang kedua pula dengan jelas bertentangan dengan doktrin Trinity. Soalnya sekarang, adakah keputusan mahkamah yang lalu boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan?
Semoga dengan pandangan ini, dapatlah kita sama-sama simpulkan bahawa apa yang berlaku merupakan satu kesilapan yang nyata. Namun ianya sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai persoalan sebagai rakyat yang cintakan tanah airnya. Adakah ini semua bersifat provokasi atau mempunyai agenda yang tersembunyi. Janganlah dilupakan bahawa orang-orang Melayu Islam telah memberi segala jasa dan pengorbanan demi negara tercinta. Jangan disebabkan 'nila setitik habis susu sebelanga'. Mungkin ini juga ada hikmah kepada kita semua.

Sunday, January 3, 2010

HUTANG RM800 JUTA, NIK AZIZ DOLAK-DALIK

"Benda ini orang lain yang buat, sampah orang lain yang buang, kita kena sapu. Ini penyakit bagi jaga negeri kepada orang yang tidak pandai'.

Inilah reaksi Nik Aziz berhubung isu tuntutan hutang oleh syarikat balak, Timbermine Sdn. Bhd. kepada kerajaan PAS Kelantan sebanyak RM800 juta! Kes yang dimenangi oleh syarikat tersebut setelah kerajaan negeri Kelantan didapati bersalah apabila melanggar kontrak diantara kedua-dua pihak. Perjanjian di antara kerajaan negeri dengan Timbermine dibuat pada 1964 ketika PAS memerintah Kelantan.

Bagaimanapun pada 1975, PAS yang menjadi komponen BN, kerajaan negeri yang ketika itu MB Kelantan, Datuk Mohd. Nasir (Presiden PAS) telah menamatkan perjanjian tersebut. Sebagai balasan kerajaan negeri sepatutnya membayar sebanyak RM3.5 juta tetapi sebaliknya kerajaan negeri telah berunding untuk menubuhkan sebuah syarikat yang akan membangunkan tanah seluas 112,000 hektar dengan memberi 30% saham kepada Timbermine.

ADUN Kok Lanas, Datuk Alwi Che Ahmad yang juga selaku Ketua Pembangkang DUN Negeri tampil menjelaskan kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh Nik Aziz terhadap isu tersebut. Beliau menjelaskan bahawa Nik Azizi sepatutnya jujur dan berterus-terang kepada rakyat dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan fakta. Perjanjian PAS dengan Timbermine pada 1964 sepatutnya tidak berlaku kerana ia tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat. Pada 1975, kerajaan BN di mana PAS juga sebagai salah satu komponennya sebulat suara bersetuju untuk membatalkan perjanjian tersebut kerana mahu membangunkan kawasan tersebut dan menubuhkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR). Beliau juga menambah, MB ketika itu dilantik oleh kalangan wakil rakyat PAS kerana kerajaan Kelantan terbentuk apabila kerusi BN adalah terdiri daripada 22 PAS, 13 UMNO dan 1 MCA. Secara asasnya sudah tentu banyak keputusan dibuat oleh wakil PAS.

Setelah PAS mengambil keputusan untuk keluar dari BN, mereka mendakwa UMNO/BN mesti membayar hutang kepada Timbermine. Sedangkan hakikatnya, semua keuntungan KESEDAR yang dirancang dan dilaksanakan oleh BN mereka 'sapu semuanya'. Inilah yang dikatakan sebagai pemimpin yang tidak bercakap benar. Mereka membuat tohmahan kepada BN yang kononnya 'sampah' yang ditinggalkan oleh BN terpaksa mereka tanggung. Tetapi mereka juga kenyang dengan 'isi-isi sampah' tersebut.

Nik Aziz yang menyelar bahawa pemimpim2 BN tidak pandai mentadbir negeri sebenarnya telah melakukan kesilapan besar kerana sepanjang 52 tahun BN memerintah negara dan negeri-negeri lain, hanya Kelantan negeri pimpinan PAS paling mundur dan merekodkan jumlah hutang terbanyak kepada kerajaan persekutuan. Negeri di bawah pentadbiran UMNO/BN dilihat lebih berdaya saing dan mampu menjana pendapatan yang lebih baik.

pemudagerik: Semoga rakyat Kelantan mulai sedar, bukan senang nak menjadi pemerintah negeri kerana setiap yang dirancangkan adalah kepentingan rakyat jua. Nak berceramah hentam sana, hentam sini memang mudah tetapi bila libatkan urus tadbir hanya pemimpin2 yang layak dan bijak sahaja mampu membawa kebaikan. Semoga PRU13, rakyat akan lebih bijak menilai antara pemimpin yang hanya pandai bercakap dengan pemimpin yang tahu buat kerja.

Thursday, December 31, 2009

SEDARLAH MELAYU!!!


LIM Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng gembira, Anwar Ibrahim puas manakala Hadi Awang kelihatan serius di mesyuarat membincangkan kedudukan pelan gagasan kerajaan perpaduan di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur kelmarin. Idea Hadi itu ditolak.
SYABAS Pas kerana menolak gagasan perpaduan Melayu. Syabas Pas kerana bersekongkol dengan rakan-rakannya yang asyik mengungkit mengenai isu biasiswa kepada anak-anak bumiputera miskin, isu untuk mengenyah DEB, isu-isu terlalu sensitif yang jika disebut di sini 'orang-orang tertentu' akan mengecap kita ini sebagai rasis. Cita-cita Pas ialah mahu memerintah Malaysia dengan rakan-rakannya itu. Mungkin Nik Abdul Aziz Nik Mat terlalu mengidamkan menjadi Perdana Menteri. Jika diizinkan tuhan cita-citanya akan tercapai. Tolong, janganlah sesiapa mengatakan dia tok guru yang hanya mengajar agama, sebenarnya beliau ialah ahli politik totok yang dalam istilah Inggeris disebut 'political animal'. Beliau tidak percaya kepada pengertian kebangsaan atau dalam konteks gagasan perpaduan, MELAYU. Melayu bagi beliau ialah elemen assabiyah yang menurutnya tidak sehaluan dengan ajaran Islam. Teras beliau ialah Islam semata-mata. Bagi beliau Melayu itu tidak wujud. Itulah antara kegagalan gagasan tersebut. Awal-awal lagi Nik Aziz menolaknya, walaupun kumpulan lain dalam Pas mahu rundingan itu dimulakan.
Presiden Pas, Hadi Awang yang mencetuskan idea itu. Ia disambut oleh kumpulan bukan Erdogan, terutama Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa. Sambutan Nasharudin itu mengakibatkan beliau 'menghilangkan diri' beberapa hari kerana dimarahi teruk oleh Mursyidul Amnya, Nik Aziz. Nik Aziz meminta Nasharudin meletakkan jawatan dan masuk UMNO. Nik Aziz terlalu emosional kerana ada pihak yang cuba menghalang cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. Anwar Ibrahim yang bimbang melihat berlaku krisis keyakinan yang merugikannya dalam pakatan itu pergi menghadap Nik Aziz di Kota Bharu sebelah pagi Ahad beberapa jam sebelum Hadi pulang dari luar negara malam itu. Ternyata dalam pertemuan itu Anwar berjaya mempengaruhi Nik Aziz, atau mereka berdua merancang untuk 'menyelesaikan' kemelut ini tanpa pengetahuan pencetus idea, Hadi. Hadi yang ditemui pemberita di lapangan terbang KLIA berkata, Pas akan mengadakan perbincangan mengenai gagasan itu keesokan harinya.
Keesokan harinya (Isnin lalu) pakatan pembangkang yang dihadiri Anwar, Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng tersenyum puas. Hadi yang turut berada di dalam mesyuarat sejam pakatan itu di bangunan Parlimen terpaksa 'malu alah' dan bersetuju mengeluarkan satu kenyataan sebulat suara menolak gagasan itu. Kenyataan tiga perenggan itu ditandatangani oleh Anwar, Hadi dan Kit Siang. Nasharudin tidak hadir dalam pertemuan itu.
Malamnya sebelum pertemuan itu, Nik Aziz di Kuala Krai menyerang UMNO. Beliau menyifatkan UMNO sebagai parti sesat seperti ajaran Ayah Pin. Parti yang membawa negara ini sehingga ke tahap ini berbanding Pakistan, Bangladesh, Afghanistan dan negara-negara Islam lain, UMNO dicercanya sebegitu rupa. Itulah Nik Aziz, ahli politik totok yang kita kenali lama dulu. Seorang yang kononnya berperwatakan lembut, tapi keras berpolitiknya. Dia menyamakan UMNO seperti Ayah Pin. Dia juga menyamakan UMNO seperti pengganas komunis. "UMNO ialah pertubuhan sesat, sama dengan Ayah Pin. UMNO dan komunis adalah sama. UMNO ialah parti sosialis kerana menolak Islam. UMNO ialah parti Melayu bukan parti Islam," kata Menteri Besar Kelantan itu di satu ceramah di Kampung Laloh di Kuala Krai malam Ahad lalu. "Bagaimana kita mahu bersetuju dengan UMNO? Mereka sekarang mahu minta kita lupa yang lepas dan bersatu dengan mereka. Mereka ini tidak tahu malu," katanya di hadapan rakan-rakan pakatannya Anwar dan Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw.
Awal hari itu (sebagaimana yang dilaporkan akhbar) Nik Aziz sudah mulai berlembut. Tapi beberapa jam kemudian di ceramah di Kuala Krai itu beliau buat pusingan-U di hadapan 5,000 penyokongnya dengan menghentam UMNO dalam kempen menjelang pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai ini. Itulah Nik Aziz yang kita kenali. Beliau boleh membuat pusingan-U yang tajam. Itu pasal kita kata beliau bukan tok guru ajar mengaji, tapi ahli politik totok yang berjuang atas nama prinsipnya yang kental. Berkata di hadapan pengikutnya yang fanatik itu, Nik Aziz menganggap UMNO tidak layak memerintah negara ini. Semasa mengucapkannya, beliau langsung tidak sedar UMNO sudahpun memerintah negara ini selama 52 tahun dengan jayanya. Pas tidak pernah. Tambah beliau, umat Islam wajib menolak UMNO jika mereka takutkan Allah.
Benar Pas sudah memerintah beberapa negeri di negara ini. Di Kedah dan Kelantan mungkin tiada masalah kerana ramai rakyatnya 'Melayu', tapi corak pemerintahan Pas di Perak yang terikat kepada master DAP telah menunjukkan hitam putih corak pemerintahannya. Belumpun panas duduk di kerusi Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin sudahpun meluluskan hak milik tanah di kampung baru untuk selama 999 tahun (atau dibulatkan 1,000 tahun). Orang Perak sendiri terkejut, teruja dengan tindakan Pas Perak itu. Kita yakin corak inilah yang akan diterapkan apabila mereka memerintah Malaysia kelak.
Kini Nik Aziz merasakan Pas dan pakatan pembangkangnya yang layak memerintah negara ini. Jika tidak layak pun jangan bimbang, mereka akan dipimpin (ditunjuk ajar) oleh sebuah negara jiran yang yakin Malaysia kini sudah pun berada di persimpangan jalan. Negara itulah yang kini melatih Pulau Pinang dengan menghantar beberapa penasihat ke negeri itu. Nik Aziz merasakan pakatannya sudah kuat. Memang benar mereka sudah kuat. Mereka kuat apabila orang Melayu lemah. Memang benarpun orang Melayu kini sudah terlalu lemah.
Gagasan perpaduan bagi Nik Aziz tidak boleh dilaksanakan sama sekali. Sama seperti kata-kata Karpal Singh "langkah mayatnya dulu" jika Malaysia mahu menjadi negara Islam. Memetik kata-kata Bisik-Bisik Awang Selamat kelmarin "… sekiranya gagasan ini berjaya, ia akan menjadi satu pelan politik yang terhebat dalam sejarah tanah air." "… tapi untuk merealisasinya bukan mudah.
Pakatan pembangkang seboleh mungkin tidak mahu melihat rancangan itu berjaya. "Kenapa mereka tidak mahu melihat ia berjaya? Kerana jika gagasan ini berjaya, pakatan itu akan hancur lebur. Dan orang Melayu akan kembali kuat. Apa pun tahniah dan syabas sekali lagi kepada Anwar dan Kit Siang serta tentunya tok guru Nik Aziz kerana berjaya menggagalkan gagasan itu.
pemudagerik: Perjuangan UMNO yang dikatakan sebagai membela umat melayu, ya benar. Tetapi bukan bersifat assabiyah seperti kata Nik Aziz kerana orang-orang Melayu menurut perlembagaan negara adalah orang-orang Islam jua. Perlu diingatkan juga bahawa 'PAS BUKANNYA ISLAM, ISLAM BUKANNYA PAS'. PAS adalah parti politik yang memperjuangkan kepentingan politik dengan menjadikan Islam sebagai 'batu loncatan'. UMNO menggunakan kepentingan politik demi memartabatkan Islam!

Monday, December 28, 2009

Guan Eng: Disiasat Akta Hasutan


Persoalannya siapa pembunuh Teoh Beng Hock???

Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan semasa berucap di Konvensyen Pakatan Rakyat bahawa Teoh Beng Hock mati akibat dibunuh. Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menjelaskan bahawa kertas siasatan telah dibuka dan beberapa saksi yang mendengar ucapan tersebut dipanggil untuk memberi keterangan. Pada hakikatnya, Guan Eng sepatutnya tidak memberikan sebarang kenyataan sesuka hati kerana kes tersebut masih lagi dalam inkues di mahkamah. Tetapi seperti biasa, Guan Eng yang langsung tidak takut dengan undang-undang negara Malaysia akan bertindak sewenang-wenangnya.

Asalnya, Teoh Beng Hock, Setpol Exco Selangor, dipanggil sebagai saksi untuk membantu siasatan kes salah guna kuasa seorang exco kerajaan negeri Selangor. Beliau juga memberi jaminan kepada SPRM untuk kembali dengan membawa beberapa dokumen yang dianggap penting dalam siasatan tersebut. Selesai siasatan, Teoh dikatakan telah menghubungi seseorang dan bertindak berehat di bangku luar bilik siasatan. Pada keesokan harinya, dia didapati mati setelah dikatakan terjatuh di bangunan SPRM. Pada fikiran kita adakah dia dibunuh atau terpaksa membunuh diri?? Pada masa kini, mahkamah sedang dalam proses inkues terhadap kes tersebut tetapi Guan Eng telah pun mengaku bahawa Teoh telah dibunuh. Ini seterusnya merungkai bahawa jika benar Teoh dibunuh, maka siapa dalang pembunuhnya?? Jika di negara Jepun misalnya, seseorang yang taat setia dalam sesebuah kumpulan atau pertubuhan kongsi gelap, perkara membunuh diri adalah perkara biasa kerana mereka berpegang pada sumpah yang telah dibuat. Jika mereka ditahan oleh pihak berkuasa atau kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang lain, mereka akan membunuh diri bagi mengelakkan sebarang RAHSIA DAPAT DIBONGKAR!

pemudagerik: Harap pihak polis akan mengambil tindakan yang keras kepada mereka yang tidak hormat pada undang-undang negara. "ADAKAH MEREKA INI BUKAN WARGANEGARA??"

Wednesday, November 18, 2009

SELADANG.NET UMPAMA PARTI POLITIK


Apabila melayari komuniti rasmi Kelab Penyokong Maya Bolasepak Perak, Seladang.net tak ubah seperti sedang membaca blog-blog politik. Memang membosankan apabila membaca komen-komen yang ditulis seolah-olah ia dikendalikan oleh seseorang yang kuat politik. Jika ini tiada pembahruan, bagaimanalah pula dengan pasukan Perak musim hadapan. Harapan tinngi menggunung diletakkan di atas bahu pemain-pemain muda dan juga jurulatih barunya, Raja Azlan Shah. Tetapi pentadbirannya 'hancus', kewangan yang 'nazak' dan wujudnya 'tikus-tikus politik' yang menjadi penumpang dalam persatuan hanya akan membawa lebih banyak kehancuran sahaja.

NIZAR ANGKUH DENGAN JAWATAN PRESIDEN PERAK F.A

Pemain dan pegawai Persatuan Bolasepak Perak menderita dengan masalah yang semakin 'tenat' dihadapi oleh persatuan. Ini kerana kantong kewangan yang susut dengan mendadak akibat kegagalan pihak majlis tertinggi dan pengurusan mentadbir dengan baik. Yang agak menghairankan kedatangan penonton tidaklah seteruk yang dialami oleh pasukan-pasukan yang berstatus kelab atau kelompok pasukan yang bertanding di Liga Perdana. Malah pada saat-saat perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia yang lalu jelas menampakkan kesetiaan penyokong skuad Seladang dan boleh dikatakan agak ramai memandangkan rakyat Perak masih lagi memberi sedikit harapan kepada 'skuad muda' kendalian M.Karathu.

Sebagai langkah terakhir, beberapa pemimpin utama serta penyokong2 setia skuad Seladang berjumpa dan meminta jasa baik MB Perak, Dato' Seri Zambry, membantu Perak FA mengatasi masalah kewangan tersebut. Dato' Seri MB, dengan perasaan yang sangat kecewa dengan masalah tersebut meminta agar kepimpinan Perak FA segera membuat rombakan yang sedia ada untuk memberi laluan kepada mereka yang benar2 layak dan bijak dalam pentadbiran sukan. Beliau juga sedia memberi kerjasama penuh dan bertekad akan membantu Perak FA.

Namun, Nizar selaku Presiden Perak FA ketika ini, dengan lantang mengkritik Dato' Seri MB kononnya mahu merampas kerusi Presiden daripada dia. Dia juga tidak mahu berganjak dari kerusi yang memerlukan komitmen yang tinggi seorang tokoh yang boleh mentadbir dengan baik dan memahami sukan bolasepak dengan mendalam. Dia dengan sombongnya mahu kerajaan negeri memberi bantuan kewangan sepertimana kerajaan negeri di bawah bekas MB, Dato' Seri Tajol Rosli, tanpa melepaskan jawatannya. Dia mengambil contoh Tan Sri Anuar Musa yang berupaya membawa pasukan Kelantan dan Kelatan FA ke tahap tertinggi hasil daripada bantuan kewangan kerajaan negeri. Ini jelas satu pembohongan dan penipuan yang paling bodoh kita dengar kerana TS Anuar bergerak bukan kerana bantuan kerajaan negeri Kelantan sebaliknya beliau mempunyai minat yang amat tinggi mengenai bolasepak, memahami pentadbiran dengan efisyen dan mempunyai 'networking' dengan tokoh-tokoh kenamaan negara. TS Anuar bergerak atas kakinya sendiri, beliau menggerakkan pentadbiran Kelantan FA dengan suasana kerja yang mantap dan menggunakan segala kelebihan yang ada pada diri beliau untuk memartabatkan Kelantan FA. Kerajaan negeri Kelantan tidak pernah ambil tahu dengan apa yang berlaku pada bolasepak Kelantan (selama 20 tahun mentadbir negeri), mereka hanya mengambil kesempatan pada perlawanan akhir sahaja. Sebagai contoh, pada perlawanan akhir Piala FA mereka hanya memberi RM30 ribu dan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 09 barulah imbuhan tersebut 'naik sedikit'.

Nizar perlu mencontohi TS Anuar jika mahu Perak FA dan 'politik dirinya' naik. Bukan menuding kepada sesiapa atas kelemahan diri sendiri. Jika tidak tahu bagaimana nak tadbir sebuah badan sukan, jangan ambil jawatan, jika dah ambil..letak jawatan! Nizar yang kita tahu bukanlah seorang peminat sukan kerana sebelum dia menjadi Presiden Perak FA, beliau bukanlah sesiapa dalam arena sukan negeri atau negara. Hatta di dalam PAS sendiri pun, dia belum pasti pernah jadi pengerusi lajnah sukan. Dia dipilih menerajui Perak FA kerana pada masa itu dia adalah MB dan anggapan pemimpin2 dalam Perak FA dia mampu membawa Perak FA ke arah lebih baik kerana kononnya dia mampu. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila dia hanya menumpukan kepada 'politiking' dan agenda2 perkauman sahaja.

FAM pada bulan Oktober 2009 yang lalu telah pun mengisytiharkan Perak antara pasukan2 yang tidak boleh bertanding dalam Liga Malaysia (Liga Super) kerana gagal mencarumkan KWSP pemain2 nya yang mana ini adalah syarat wajib bagi setiap pasukan yang mahu mendaftar untuk bermain pada musim hadapan. Tetapi apa yang menjadi persoalan, kenapa setiap kali perlawanan di stadium, penyokong yang hadir agak ramai juga? Mungkin ada yang masuk 'free'? Siapa?? Jadi, kepada Nizar..jika tak mampu menanggung tanggungjawab, janganlah beban yang kamu pikul. Berundurlah sebelum rakyat Perak semakin membenci kamu!

Thursday, October 29, 2009

Pakatan Rapuh bikin kecoh!


Kronologi gelagat ADUN Pembangkang..
7.30am : Berkumpul di dalam bangunan DAP di depan Bangunan SUK Perak.
7.55 am : Pegawai Khas kepada Ngeh turun ke bawah membeli sarapan pagi.
8.30 am: PAS meminta penyokong-penyokongnya sembahyang hajat di atas jalanraya, depan
bangunan DAP. Tujuan untuk memusnahkan orang2 yang tidak sokong islam.
10.00 am: Berkumpul di depan Bangunan SUK, meminta semua penyokong untuk berkumpul.
10.20 am: Sivakumar dipakaikan jubah Speaker dan bergerak ke Bangunan SUK.
10.30 am: Sivakumar dihalang oleh pihak polis kerana memakai jubah speaker sedangkan beliau
bukan lagi speaker yang sah. Sivakumar mengamuk dan memaki hamun polis. ADUN
PR yang lain buat bising seolah-olah Sivakumar dibelasah oleh polis.
11.00 am: Berjalan ke Dewan DUN setelah menandatangani kehadiran di buku kehadiran.
12.30 pm: Masuk ke Dewan DUN yang berhenti berehat. Buat sidang 'DUN' sendiri, Sivakumar
bercakap dari meja wakil rakyat. Nizar seolah-olah membentangkan bajet 2010.
1.30 pm: Ketika Speaker, R. Ganesan memberi arahan agar Dewan DUn dihormati, ADUN2 ini
terus bercakap dan membuat bising. Kata2 'bubarkan dun' dan 'speaker haram'
dilontarkan kepada Speaker.
2.00 pm: Ketika Sidang DUN hendak bersambung, ADUN2 pembangkang keluar dewan.

pemudagerik: Pemimpin yang bijaksana akan bertindak seperti orang bijak dan berkata dengan perkataan yang bijak. Tetapi jika pemimpin itu bukan dari kalangan orang2 bijak maka ia kelihatan seperti orang bodoh sombong dan gila kuasa.