Thursday, January 7, 2010

Kalimah "ALLAH" hak eksklusif untuk umat Islam..!

Saya terpanggil untuk menulis isu besar ini mengenai penggunaan nama Allah oleh Herald-The Catholic Weekly. Saya ingin memberi beberapa pandangan, cadangan dan informasi hasil dari pembacaan dan pengkajian saya sendiri mengenai agama Nasrani yang kini dikenali sebagai agama Kristian. Bukan niat saya untuk mencari kelemahan agama tersebut tetapi, bagi saya ianya sebagai satu pembacaan ilmiah dan sebagai seorang Islam tidak salah bagi saya membaca dan mengkaji sabagai menambah ilmu pengetahuan.
Pada pandangan saya, sebagai orang Islam kita harus bersabar dan mencari jalan secara lebih berhikmah (wisdom) untuk hadapi situasi seperti ini. Sebagai umat Islam kita telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. supaya sentiasa berpesan dalam kebenaran dan berpesan dalam kesabaran (Surah Al-Asr). Pendekatan yang lebih berbentuk Ilmiah dan hikmah adalah yang terbaik untuk hadapi situasi seperti ini.
Saya ingin berkongsi beberapa informasi yang berguna yang mungkin dapat dijadikan panduan oleh pihak-pihak yang berkenaan terutama pihak KDN, Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Agama Islam, NGO atau Persatuan Peguam Muslim.
Sebenarnya, umat Kristian telah lama kehilangan hak untuk menggunakan perkataan Allah kerana pihak gereja sendiri telah menggugurkan perkataan tersebut dari sebarang urusan gereja dan upacara keagamaan. Pada tahun 325 Masihi satu pengistiharan dalam Muktamar Nicea menyatakan bahawa Trinity adalah akidah utama orang Kristian yang terdiri daripada Bapa, Anak dan Roh Kudus. Ini diikuti oleh Muktamar Constantinople 1 pada tahun 381 Masihi yang mengukuhkan perisytiharan terdahulu bahawa semua orang Kristian menggunakan istilah Bapa, Anak dan Roh Kudus. Pada Muktamar Ephesus 1 pada tahun 431 Masihi, pihak gereja melarang orang2 Kristian menggunakan nama Tuhan yang terdapat dalam Kitab Injil untuk percakapan harian dan hanya menggunakan perkataan Bapa sahaja. Nama-nama Tuhan hanya boleh digunakan dalam upacara keagamaan oleh pihak gereja sahaja.
Ketika berlakunya perpecahan aliran dalam agama Kristian di Eropah, aliran Protestant telah muncul untuk keluar dari pengaruh kekuasaan Gereja Katolik yang berpusat di Rome. Akibat daripada perpecahan tersebut juga memberi kesan kepada kitab Bible. Gereja Katolik menerbitkan Bible edisi Geneva pada tahun 1560 dan pihak Protestant menentang penerbitan Bible edisi in dan hasilnya pada tahun 1611 mereka menerbitkan Bible edisi King James. Pada tahun 1769, Bible edisi King James telah diterima pakai oleh dunia Kristian dan digunakan sehingga ke hari ini. Saya ingin menjelaskan disini sebelum tahun 1769, edisi King James mengandungi 4 perkataan kalimat ‘Alah’.Kalimat ‘Alah’ ini telah dibuang dari edisi King James selepas tahun 1769. Edisi King James yang digunakan sekarang tidak mengandungi kalimat tersebut. Oleh itu. Saya berpendapat, agama Kristian sudah tidak mempunyai hak untuk menggunakan kalimat atau perkataan ‘Allah’ untuk apa tujuan sekalipun.
Pihak penerbit Herald-The Catholic Weekly seharusnya mengkaji sejarah agama Kristian sendiri sebelum bercita-cita menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitannya. Jika didalam kitab suci agama Kristian tidak ada perkataan ‘Allah’ bagi merujuk nama Tuhan, maka tidak wajar bagi pihak penerbit Herald-Catholic Weekly menggunakannya.
Dari segi linguistik pula, perkataan atau kalimat ‘Allah’ adalah berasal dari bahasa Arab iaitu ‘Al-Ilah’. Dalam bahasa Arab, kata dasar ‘Ilah’ bermaksud “Tuhan yang mempunyai sifat yang tunggal”. Sifat kata dasar ‘Ilah’ juga tidak mempunyai kata ganda yang menunjukkan bilangan (plural) seperti god (singular) dan gods (plural) atau tuhan (bilangan satu) dan tuhan-tuhan (bilangan lebih dari satu). Selain itu, kata dasar ‘Ilah’ juga tidak menunjukkan jantina (gender) seperti god (male) dan goddess (female) atau dewa dan dewi seperti tuhan-tuhan Mesir Purba iaitu Osiris (lelaki) dan Isis (Perempuan). Kata dasar ‘Ilah’ itu sendiri adalah bersifat satu atau tunggal yang bertentangan dengan doktrin Kristian iaitu Trinity. ‘Ilah’ bersifat Uno yakni satu manakala doktrin Trinity pula tuhan itu terdiri daripada 3 oknum iaitu Bapa, Anak dan Roh Kudus yang bertindak secara berasingan.
Jika diteliti dengan sepenuhnya terdapat pebezaan yang ketara antara sifat ‘Ilah’ dengan doktrin Trinity tersebut.Terdapat banyak nama-nama Tuhan di dalam kitab Taurat, Zabur dan Injil. Agama Kristian yang berasal daripada Judeo-Christian, menggabungkan kitab Taurat, Zabur dan Injil dan dikenali sebagai Holy Bible.
Bagi saya secara rasionalnya Paderi Murphy Pakiam selaku penerbit Herald-Catholic Weekly sudah tentu lebih mengetahui nama-nama Tuhan yang terdapat dalam kitab Bible. Antaranya ialah Jehovah, Yahweh, Eloh, Eli atau El. Secara rasionalnya juga penerbit Herald-Catholic Weekly boleh menggunakan nama-nama ini dalam penebitan mereka kerana orang-orang Kristian lebih terdedah kepada nama-nama Tuhan yang terdapat dalam Kitab Bible.
Persoalannya sekarang, kenapa Paderi Murphy Pakiam tidak menggunakan nama-nama Tuhan yang terdapat dalam kitab Bible tersebut?
Sebagai contoh, Jesus pernah bersuara dengan nada yang kuat menyebut salah satu nama Tuhan seperti yang dirakamkan oleh Injil. Jesus menyebut “Eli, Eli lama sabachtani” sebagai kata-kata terakhir beliau. Maksud Eli ialah Tuhanku. Bahasa ibunda Jesus ialah bahasa Aramaic iaitu salah satu dialek bahasa Ibrani (Hebrew). Saya berpendapat adalah lebih realistik bagi penerbit Herald-Catholic Weekly menggunakan nama Tuhan seperti yang keluar dari lidah Jesus sendiri.
1.3 billion orang Islam seluruh dunia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bertutur dalam pelbagai bahasa menggunakan kalimat Allah yang berasal daripada bahasa asalnya iaitu bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa pertuturan Baginda Rasululllah kerana baginda berbangsa Arab.Orang-orang Islam tidak menterjemahkan Allah kepada bahasa ibunda masing-masing. Ini adalah kerana kalimat Allah tidak sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Begitu juga dengan orang-orang Kristian, mereka sepatutnya mengikuti Jesus dengan menyebut nama Tuhan dalam bahasa asal iaitu bahasa Aramaic yakni bahasa ibunda Jesus.
Dari segi perundangan, sudah terang dan nyata menunjukkan bahawa perkataan Allah adalah hak eksklusif untuk orang-orang Islam. Saya menyarankan kepada KDN, Jakim dan Persatuan Peguam Islam menggunakan sumber Al-Quran di mahkamah nanti. Secara logik dan rasional minda saya ialah, Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan bahawa agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Oleh kerana itu, semua orang tahu bahawa sumber agama Islam adalah Al-Quran. Kewajaran Al-Quran sebagai dokumen yang telah didokumentasikan oleh para sahabat Rasullullah sebagai sumber yang authentik untuk dijadikan hujah di mahkamah nanti.
Surah Al-Ikhlas dengan jelas menyatakan bahawa Allah adalah hak eksklusif bagi orang-orang Islam. Maksud Surah Al-Ikhlas-“Katakanlah Allah Itu Esa(1). Allah tempat bergantung sekelian makhluk(2). Tidak beranak dan tidak pula diperanakkan(3). Dan tiada satu pun yang setara denganNya(4)”.Perhatikan ayat pertama dengan jelas menunjukkan Allah adalah Esa. Secara eksklusifnya hanya untuk orang-orang Islam kerana orang-orang Islam beriman kepada Allah yang Esa. Ayat yang kedua pula dengan jelas bertentangan dengan doktrin Trinity. Soalnya sekarang, adakah keputusan mahkamah yang lalu boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan?
Semoga dengan pandangan ini, dapatlah kita sama-sama simpulkan bahawa apa yang berlaku merupakan satu kesilapan yang nyata. Namun ianya sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai persoalan sebagai rakyat yang cintakan tanah airnya. Adakah ini semua bersifat provokasi atau mempunyai agenda yang tersembunyi. Janganlah dilupakan bahawa orang-orang Melayu Islam telah memberi segala jasa dan pengorbanan demi negara tercinta. Jangan disebabkan 'nila setitik habis susu sebelanga'. Mungkin ini juga ada hikmah kepada kita semua.

Sunday, January 3, 2010

HUTANG RM800 JUTA, NIK AZIZ DOLAK-DALIK

"Benda ini orang lain yang buat, sampah orang lain yang buang, kita kena sapu. Ini penyakit bagi jaga negeri kepada orang yang tidak pandai'.

Inilah reaksi Nik Aziz berhubung isu tuntutan hutang oleh syarikat balak, Timbermine Sdn. Bhd. kepada kerajaan PAS Kelantan sebanyak RM800 juta! Kes yang dimenangi oleh syarikat tersebut setelah kerajaan negeri Kelantan didapati bersalah apabila melanggar kontrak diantara kedua-dua pihak. Perjanjian di antara kerajaan negeri dengan Timbermine dibuat pada 1964 ketika PAS memerintah Kelantan.

Bagaimanapun pada 1975, PAS yang menjadi komponen BN, kerajaan negeri yang ketika itu MB Kelantan, Datuk Mohd. Nasir (Presiden PAS) telah menamatkan perjanjian tersebut. Sebagai balasan kerajaan negeri sepatutnya membayar sebanyak RM3.5 juta tetapi sebaliknya kerajaan negeri telah berunding untuk menubuhkan sebuah syarikat yang akan membangunkan tanah seluas 112,000 hektar dengan memberi 30% saham kepada Timbermine.

ADUN Kok Lanas, Datuk Alwi Che Ahmad yang juga selaku Ketua Pembangkang DUN Negeri tampil menjelaskan kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh Nik Aziz terhadap isu tersebut. Beliau menjelaskan bahawa Nik Azizi sepatutnya jujur dan berterus-terang kepada rakyat dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan fakta. Perjanjian PAS dengan Timbermine pada 1964 sepatutnya tidak berlaku kerana ia tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat. Pada 1975, kerajaan BN di mana PAS juga sebagai salah satu komponennya sebulat suara bersetuju untuk membatalkan perjanjian tersebut kerana mahu membangunkan kawasan tersebut dan menubuhkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR). Beliau juga menambah, MB ketika itu dilantik oleh kalangan wakil rakyat PAS kerana kerajaan Kelantan terbentuk apabila kerusi BN adalah terdiri daripada 22 PAS, 13 UMNO dan 1 MCA. Secara asasnya sudah tentu banyak keputusan dibuat oleh wakil PAS.

Setelah PAS mengambil keputusan untuk keluar dari BN, mereka mendakwa UMNO/BN mesti membayar hutang kepada Timbermine. Sedangkan hakikatnya, semua keuntungan KESEDAR yang dirancang dan dilaksanakan oleh BN mereka 'sapu semuanya'. Inilah yang dikatakan sebagai pemimpin yang tidak bercakap benar. Mereka membuat tohmahan kepada BN yang kononnya 'sampah' yang ditinggalkan oleh BN terpaksa mereka tanggung. Tetapi mereka juga kenyang dengan 'isi-isi sampah' tersebut.

Nik Aziz yang menyelar bahawa pemimpim2 BN tidak pandai mentadbir negeri sebenarnya telah melakukan kesilapan besar kerana sepanjang 52 tahun BN memerintah negara dan negeri-negeri lain, hanya Kelantan negeri pimpinan PAS paling mundur dan merekodkan jumlah hutang terbanyak kepada kerajaan persekutuan. Negeri di bawah pentadbiran UMNO/BN dilihat lebih berdaya saing dan mampu menjana pendapatan yang lebih baik.

pemudagerik: Semoga rakyat Kelantan mulai sedar, bukan senang nak menjadi pemerintah negeri kerana setiap yang dirancangkan adalah kepentingan rakyat jua. Nak berceramah hentam sana, hentam sini memang mudah tetapi bila libatkan urus tadbir hanya pemimpin2 yang layak dan bijak sahaja mampu membawa kebaikan. Semoga PRU13, rakyat akan lebih bijak menilai antara pemimpin yang hanya pandai bercakap dengan pemimpin yang tahu buat kerja.